Wednesday, December 7, 2011

Penemuan Kubur Menjadi Saksi Kekejaman Gadhafi

Penemuan Kubur Menjadi Saksi Kekejaman Gadhafi



TRIPOLI, Libya – Pihak berkuasa Libya menemui kubur besar mengandungi lebih 1,200 rangka tulang dipercayai banduan yang menjadi mangsa dalam pembunuhan yang dijalankan rejim Muammar Gadhafi pada 1996.
Rangka tersebut ditemui di luar tembok penjara Abu Salim, di sini, iaitu tempat bagi tentera rejim menjalankan siksaan sebelum melenyapkan mereka.
Penemuan rangka berkenaan bakal menjadi saksi terhadap kekejaman Muammar yang memerintah Libya selama 42 tahun dan dalam masa sama membolehkan ahli keluarga mengetahui kebenaran dan nasib yang menimpa mangsa terbabit.
“Kami kini telah mengetahui kebenaran ini yang disembunyikan sejak bertahun-tahun lalu,” kata jurucakap tentera, Khalid al-Sherif.
Khalid berkata, beliau dan ahli jawatankuasa yang dibentuk bagi mencari kubur tersebut yakin lubang tersebut menempatkan mayat tahanan yang dibunuh, berdasarkan kepada maklumat termasuk daripada pengawal keselamatan yang ditangkap semasa gerakan anti Muammar dilancarkan.
Pembunuhan besar-besaran itu dijalankan pada bulan Jun 1996 selepas banduan di penjara berkenaan merusuh kerana tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan.
Pengawal yang bertugas telah melepaskan tembakan ke arah perusuh terbabit dan mayat mereka dibiarkan dalam penjara sehingga dikebumikan empat tahun kemudian.
Kebanyakan tahanan berkenaan adalah ahli politik selain ulama dan pelajar yang lantang mengkritik bekas pemimpin Libya itu.
Selama bertahun-tahun, keluarga mangsa pembunuhan itu dilarang daripada mengunjungi penjara dan mereka juga tidak mengetahui nasib yang menimpa mangsa.
Namun berita mengenai pembunuhan itu tersebar selepas seorang pengawal membocorkan perkara berkenaan menyebabkan pertubuhan hak asasi manusia menjalankan siasatan.
Biarpun Muammar ketika itu bersetuju membayar pampasan kepada waris, namun mereka mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

No comments: